Kami mahu menjadi juara, bukannya tidak terkalah, kata Guardiola

Oleh Staff Writer 9 Disember 2018 1086
 Kami mahu menjadi juara, bukannya tidak terkalah, kata Guardiola
Pep Guardiola tidak peduli Manchester City terlepas kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pasukannya rebah buat kali pertama dalam aksi liga musim ini di Chelsea.

Gol daripada N'Golo Kante dan David Luiz mengakhiri rentetan tanpa kalah City awal pagi tadi,  dengan kemenangan awal Liverpool ke atas Bournemouth bermakna The Reds kini memimpin carta EPL selepas 16 perlawanan.

Bagaimanapun, Guardiola tidak menggelabah dengan kekalahan tersebut dengan menegaskan tidak mungkin City akan mengharungi kempen sepanjang musim ini tanpa kekalahan.

"Semua orang bertanya kepada saya mengenai hal ini, saya sudah katakan ia tidak akan berlaku," Guardiola memberitahu sidang akhbar.

"Kami bukannya mahu menjadi kebal atau tidak terkalah. Kami berada di sini untuk menjadi juara. 

"Tidak mengapa, kami hanya mahu mempunyai satu mata lebih banyak daripada lawan kami. Tetapi pada masa ini, Liverpool lebih bagus daripada kami. 

"Kami kini memasuki Disember, jika anda bertanyakan adakah Liverpool mampu memenangi EPL, saya akan katakan ya. Jika anda bertanya kepada saya sama ada Tottenham, Arsenal atau Chelsea boleh mencabar trofi EPL, saya akan mengatakan ya.

"Tidak ada sukan di dunia ini yang memperlihatkan sebuah pasukan atau atlet telah memenangi segala-galanya.

"Ia tentang bagaimana anda kalah. Kami bermain dengan cara yang kami mahu bermain. Apabila lawan beraksi lebih baik, kami akan ucapkan tahniah," ujarnya.

Kedua-dua pengurus itu, Guardiola dan Maurizio Sarri, mengetengahkan kesebelasan utama tanpa penyerang tulen dengan Hazard dan Raheem Sterling ditempatkan sebagai peranan 'pemain nombor sembilan palsu'. 

Guardiola, yang pasukannya menguasai permainan tanpa menawarkan sengat di hadapan, berseloroh bahawa dia dan Sarri sepakat untuk mengetengahkan sistem yang sama. 

"Semalam, saya telah menghubungi Maurizio dan kami memutuskan untuk bermain dengan pendekatan yang sama," kata Guardiola.

"Dia cuba menang, saya cuba menang, apabila dia menang saya mengucapkan tahniah kepadanya, dia pula akan mengucapkan selamat kepada saya (jika saya menang).

"Dia seorang yang luar biasa, saya mengaguminya dan dia layak menerima semua pujian."


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen