BRIGHTON & HOVE ALBION 1 WEST HAM 0

Pengurus Brighton & Hove Albion, Chris Hughton, mengakui hanya bergantung kepada taktikal bertahan sebelum faktor nasib memberikan kemenangan 1-0 buat pasukannya menundukkan West Ham, awal pagi tadi.


Dalam perlawanan tunggal Liga Perdana tersebut, Glen Murray menjaringkan gol kemenangan Brighton pada minit ke-25 selepas menyudahkan hantaran lintang Beram Kayal di Stadium Amex.

Tuan rumah bertahan baik sepanjang babak pertama, namun terpaksa menahan asakan bertali arus West Ham dalam babak kedua

Hughton lega pemainnya mampu bertahan sehingga ke akhir perlawanan untuk rekod tanpa bolos pertama mereka musim ini.

Kemenangan ini turut melonjakkan mereka ke tangga ke-12 liga.

"Kami lebih bernasib baik berbanding West Ham," kata Hughton dalam laman web rasmi pasukan.

"Mereka hampir menjaringkan gol dan sangat hebat di bahagian serangan. Kami perlu bertahan dengan baik.

"Lebih menggembirakan adalah tiga mata ini kami raih sebelum waktu rehat antarabangsa. Kami bekerja keras untuk mengelak daripada dibolosi.

"Di sebalik pelbagai kesalahan yang kami lakukan, termasuk percubaan yang dimiliki mereka, kami masih kental bertahan. Pemain sanggup menahan bola dengan badan.

"Ia memerlukan segalanya untuk memenangi perlawanan ini. Tiga mata ini adalah yang paling penting," tambah Hughton.

Bagi pengurus West Ham, Manuel Pellegrini, ia sangat mengecewakan menyaksikan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan mereka musnah dengan banyak peluang yang dimiliki dipersiakan.

"Kami tidak bermain dengan baik dalam babak pertama," ujar Pellegrini.

"Kami bermain lebih baik dalam babak kedua. Kami menguasai dan mencipta peluang. Kami cuma tidak menjaringkan gol. Ia bukan perlawanan yang kami sepatutnya kalah", tambahnya.