Pengendali Leicester City, Claudio Ranieri, mengakui pasukannya bernasib baik dapat mengutip satu mata selepas juara Liga Perdana Inggeris musim lalu itu diikat seri tanpa jaringan berdepan Southampton.

Southampton mendominasi hampir keseluruhan perlawanan pada Ahad dengan Charlie Austin mencemaskan penyokong tuan rumah apabila percubaannya menggegar palang gol.

Walaupun Leicester -- yang bangkit daripada kekalahan 4-1 kepada Manchester United untuk menang ke atas FC Porto dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Selasa lalu -- tampil lebih tajam ketika menyerang, Ranieri enggan berselindung dan mengakui pasukannya gagal menandingi intensiti The Saints.

"Mereka sepatutnya menang, mereka layak menang," katanya.

"Mereka mencipta lebih banyak peluang dan menguasai perlawanan. Kami bernasib baik kerana penjaga gol, Kasper Schmeichel, menjadi penyelamat.

"Ia satu pengalaman baru buat pemain yang perlu mengubah corak permainan mereka sebaik pulang beraksi di pentas UCL. Southampton membuat tujuh pertukaran hari ini, mungkin kerana itulah mereka lebih ampuh.

"Mereka sering kali berjaya mematahkan permainan serangan balas kami, maka kami harus memperbaiki perkara itu.

"Apa pun, satu mata ini sudah memadai. Sekali lagi barisan penyokong memberikan pemain tenaga ekstra."