Juruterbang dalam nahas kapal terbang yang mengorbankan Emiliano Sala, David Ibbotson, tidak memiliki lesen atau kebenaran untuk penerbangan komersil.

Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) semalam menerbitkan laporannya mengenai kehilangan pesawat Piper Malibu itu yang terhempas di selat Inggeris pada 21 Januari tahun lalu, dua hari selepas perpindahannya daripada Nantes ke Cardiff City dimeterai.

Lesen penerbangan Ibbotson didapati telah luput pada November 2018 malah pesawat itu tidak mempunyai lesen atau kebenaran yang sah untuk beroperasi.

Mayat Sala, yang berusia 28 ketika itu, dijumpai pada 7 Februari 2019 sementara Ibbotson masih belum dijumpai.

Satu laporan yang dikeluarkan pada Ogos lalu mengklasifikasikan Sala mati akibat terdedah kepada karbon monoksida.

Dalam laporan penemuan terakhir itu, AAIB menulis: "Pada pukul 8.16 malam (waktu tempatan), mungkin kerana ingin mengelak cuaca buruk, pesawat itu hilang dari radar sebelum terhempas di 22 batu nautika utara-barat laut Guernsey.



"Juruterbang atau pesawat itu tidak mempunyai lesen atau kebenaran yang diperlukan untuk beroperasi secara komersil."

Siasatan mendapati Ibbotson hilang kawalan ketika terbang secara manual, mungkin dia cuba meneruskan penerbangan atau ketika berusaha mendapatkan semula Visual Meteorologi, pesawat itu kemudiannya pecah "kerana bergerak melebihi kelajuan reka bentuknya".

Di samping itu, siasatan mendapati Ibbotson mungkin menemui ajal kerana keracunan karbon monoksida.

Laporan itu turut mendedahkan pesawat berkenaan tidak mempunyai peralatan mengesan karbon monoksida untuk memberi isyarat kepada Ibbotson.

Laporan itu juga mengatakan: "Pesawat tersebut hilang kawalan kerana penerbangannya tidak dijalankan mengikut piawaian keselamatan seperti yang ditetapkan dalam operasi komersil.

"Ia dibuktikan berikutan penerbangannya dikendalikan di bawah Peraturan Penerbangan Visual (VFR), iaitu terbang pada waktu malam dalam keadaan cuaca yang buruk di sebalik juruterbangnya tidak mempunyai latihan untuk menerbangkannya pada malam hari selain kurang menitik beratkan proses penerbangan."