Jurgen Kloop ganggu lena Thomas Tuchel 

Oleh Shaiful Shamsudin 4 Mac 2021 1510
 Jurgen Kloop ganggu lena Thomas Tuchel 
Thomas Tuchel mengatakan bahawa cabaran untuk mengatasi Jurgen Klopp membuatkannya tidak dapat tidur lena. 

Chelsea akan bertandang ke Anfield untuk menghadapi juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu awal pagi esok sambil kedua-dua pasukan bersaing untuk merebut kelompok empat teratas.

Buat julung kalinya bekas pengurus Mainz dan Borussia Dortmund itu terbabit dalam EPL dan Tuchel menyedari semangat serupa ketika Diego Simeone menguruskan Atletico Madrid.

"Situasi ini membuatkan saya bangkit dari tempat tidur dengan lebih awal kerana ia menjadi satu cabaran buat saya untuk menghadapinya," katanya dalam sidang akhbar.

"Dia genius tetapi pada akhirnya, kami bukannya bertemu untuk bermain tenis, kami mempertaruhkan pasukan kami dan kami harus bersedia.

"Jurgen terbukti hebat, dia mampu mengubah mana-mana kelab menjadi sebuah unit dan di ketiga-tiga kelab yang pernah diuruskannya telah menjadi pencabar utama hasil daripada air tanganya, dekat di hati peminat. Dia merupakan kejayaan besar mereka.


 

"Dia telah melakukannya di luar negara dalam liga yang paling sukar dan mengubah Liverpool menjadi mesin kemenangan dan sebuah pasukan yang sangat sukar untuk ditandingi. Ini kerana penyatuan antara pemainnya dan dialah yang dihadapi apabila menentang mereka. 

"Ia mirip dengan Diego Simeone dan sekumpulan pemainnya di Atletico, mereka benar-benar bersatu dan seperti yang saya katakan, ini adalah satu cabaran besar tetapi kami perlu bersiap menghadapi cabaran."

Minggu lalu, The Blues menghadapi tentang Atletico untuk mendahului 1-0 di dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) minggu lalu.

Ini adalah satu titik awal permulaan yang menggembirakan Chelsea di bawah pimpinan Tuchel untuk menduduki kedudukan kelima EPL -- satu mata dan tempat di depan lawan mereka itu. 

Perseteruan di antara kedua-dua pasukan dihangatkan lagi dengan hubungan peribadi di antara Tuchel dan Klopp.

"Sudah tentu, kami kenal rapat tetapi mungkin tidak seperti yang dijangkakan orang ramai memandangkan saya menyertai akademi Mainz pada tahun yang sama dia pergi, jadi kami tidak pernah bertemu di sana," jelasnya.

"Saya menjadi penggantinya di Dortmund jadi kami juga tidak berkesempatan bertemu. Tentu saja kami ada berjumpa dalam perlawanan perpisahan di Mainz kemudian kami ada duduk dan berbincang.

"Sangat menyenangkan untuk bercakap dengannya malah sangat menarik apabila kami berjumpa dalam (majlis) UEFA (Persatuan Bola Sepak Eropah) atau pertemuan jurulatih. Kami menggunakan masa itu dengan mejamu tengah hari atau makan malam bersama-sama. 

"Dia amat melucukan dan menarik tetapi kami bukanlah terlalu rapat."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen