Ejen Jorginho, Joao Santos, mendedahkan pemain tengah itu akan memperbaharui kontrak di Chelsea dan menolak spekulasi akan menyertai Juventus.

Pemain Itali itu dikaitkan dengan perpindahan ke Turin, di mana bekas pengurusnya di Napoli dan Chelsea, Maurizio Sarri, kini bergelar pengendali.

Namun, Santos menegaskan dia tidak mendengar sebarang tawaran atau minat daripada Juventus mengenai pemain berusia 28 tahun itu.

Malah, ejen itu berkata Jorgino mungkin melanjutkan kontrak di England dan memperbaharui perjanjian terkini sehingga 2023.

"Juventus? Saya ada baca tetapi masih tidak dihubungi," katanya.

"Sehingga kini, saya tidak tahu sebarang perkara mengenai situasi itu.

"Jorginho sangat gembira di London, mempamerkan kualiti dimiliki dan masih mempunyai baki tiga tahun kontrak. Julai nanti, kemungkinan perbincangan kontrak baru bersama Chelsea akan dibuat.

"Tidak pasti dengan strategi Juventus tetapi ini adalah perancangan untuk masa depan kami. Saya ulang, sehingga kini tiada tawaran daripada Juve atau kelab lain untuk Jorginho."

Jorginho telah melakukan 26 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris, meledakkan empat gol pada musim ini sebelum saingan ditangguhkan akibat wabak coronavirus.