Bekas pertahanan Manchester United, Ronny Johnsen, disahkan akan menghadiri majlis makan malam tahunan kelab penyokong pasukan berkenaan, United Malaysia, di Kota Kinabalu, Jun ini.

Ketika bersama United, Johnsen pernah merangkul empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk kejuaraan 'treble' yang diraih The Red Devils pada musim 1998/99.

Presiden United Malaysia, Batholomew Jingulam, ketika mengesahkan perkara itu berkata beliau mula menemui Johnsen di Perth, Australia, November tahun lalu sebelum menjemput bekas pemain itu untuk menyertai makan malam tahunan kelab berkenaan, tahun ini.

"Ketika itu Johnsen hanya berjenaka dan menjawab ya, ya (saya akan hadir).

"Tetapi apabila kami menjemput beliau secara rasmi untuk menyertai makan malam tahunan kali ke-4 di Dewan Hakka, 28 Jun depan, beliau kemudian menerimanya dan bersetuju akan hadir sebagai tetamu kehormat kami," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Batholomew berkata ketika kelab berkenaan mula ditubuhkan, tiada orang yang menyangka mereka akan mampu membawa bekas pemain United ke Sabah kerana ramai yang menyifatkan mereka sebagai hanya sebuah kelab penyokong yang kerdil.

"Apapun, kami telah membuktikannya kepada mereka yang meragui kami selama ini. Pencapaian kami ini (membawa bekas pemain United) tidaklah teruk sangat sebagai kelab yang kecil kan?" katanya.

Sementara itu, Batholomew turut menasihati semua ahli yang belum mendapatkan tiket makan malam dan cabutan bertuah supaya berbuat demikian kerana jumlah meja kini semakin terhad.

"Dengan kehadiran Johnsen, pastinya lebih ramai akan menyertai makan malam tahunan ini dan setakat ini, tiket meja semakin habis terjual," katanya.

Katanya lagi, mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau ingin membeli tiket makan malam serta cabutan bertuah boleh menghubungi Fynn Wong di nombor 016-842 2249, Jennifer Lajaip (016-821 7066) atau Darrell Ho (016-831 1062).

Antara acara kemuncak yang bakal berlangsung nanti ialah cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah menyaksikan perlawanan di Old Trafford musim depan.