West Brom memecat Slaven Bilic biarpun berjaya mengikat Manchester City kelmarin dengan Sam Allardyce dilaporkan akan mengambil alih kerusi panas itu.

Walaupun mencipta kejutan mengikat City bagi membuktikan bahawa Bilic masih mampu membawa Baggies kembali ke landasan sebenar, namun kelab itu sudah membulatkan tekad.

West Brom mengumumkan pemecatannya petang semalam tetapi laporan khabar angin itu mula bertiup selepas pertembungan di Stadium Etihad itu.

Bilic meninggalkan kelab itu di tangga ke-19 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan tujuh mata selepas 13 perlawanan dan dua mata dipisahkan dari zon penyingkiran.

Satu kenyataan kelab itu berbunyi: "West Bromwich Albion hari ini berpisah dengan pengurus, Slaven Bilic.

"Penolong jurulatih, Dean Racunica dan Danilo Butorovic, dan jurulatih pasukan utama, Julian Dicks, juga telah meninggalkan kelab dengan segera."

West Brom ingin mengucapkan terima kasih kepada Bilic yang telah membimbing kelab itu meraih promosi dalam Liga Kejuaraan musim lalu.

Bekas pengendali Croatia itu menjadi mangsa kedua dalam EPL selepas sembilan pengurus menjadi korban sepanjang 2019 -- angka terendah sejak 1999.

Beberapa nama telah dikaitkan sebagai pengganti berpotensi dan bekas pengurus England, Allardyce, muncul calon kegemaran.

Dia pernah mengemudi tujuh kelab EPL diikuti Mark Hughes yang pernah mewakili enam pasukan.

Hanya Arsene Wenger (828 perlawanan), Alex Ferguson (810), Harry Redknapp (641) dan David Moyes (557) telah mengharungi lebih banyak permainan daripada Allardyce (512).

Sekiranya dia dilantik oleh West Brom, ini akan menjadi kali kelima buat Allardyce menyandang jawatan di pertengahan musim.

Pada musim 2008-09, Allardyce mengambil alih Blackburn Rovers ketika mereka di posisi ke-19 sebelum mereka mengakhiri kempen di tangga ke-15 sementara menyelamatkan kempen Sunderland pada 2015-16 walaupun satu ketika di tangga kedua tercorot.

Kali terakhir dia memegang jawatan pada musim 2018, dia membantu Everton mengakhiri musim di kedudukan kelapan selepas melonjak lima anak tangga.