Raul Jimenez berharap Wolverhampton Wanderers mampu mengekalkan kecemerlangan ketika menewaskan Manchester City apabila bertandang ke Liverpool, awal pagi Isnin depan.

Dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, Wolves mengejutkan City 3-2 sekali gus meragut peluang kejuaraan buat juara bertahan itu sambil anak buah Nuno Santo itu naik ke tangga kelima liga.

Jimenez, yang menjaringkan gol penyamaan selepas ketinggalan 2-0, berharap pasukannya dapat sekali lagi mempamerkan aksi terbaik apabila berkunjung ke Anfield.

"Mengapa tidak?" kata penyerang itu untuk mengulangi kemenangan awal pagi tadi.

"Ia bakal jadi aksi getir tetapi kami sedar tentangnya."

Mendahului 2-0 dan beraksi dengan 10 pemain, Wolves meraih jaringan menerusi Adama Traore sebelum gol penyamaan Jimenez dan Matt Doherty melengkapkan kemenangan pada minit ke-89.

Jimenez memuji seluruh pasukannya yang turut menundukkan City 2-0 dalam aksi Oktober lalu.

"Tidak mudah untuk bangkit selepas ketinggalan dua gol, menentang pasukan seperti Manchester City, terutamanya," tambahnya.

"Ia sukar tetapi dengan semangat dan persembahan ditampilkan, kami tahu ia bakal menjadi peluang terbaik untuk menang.

"Ia bukan perlawanan yang sempurna tetapi kami bermain dengan baik menentang pasukan yang bagus, City. Suka untuk menang atau seri ketika berdepan mereka tetapi kami menundukkan mereka dalam kedua-dua pertemuan.

"Jadi, kami sangat gembira dan akan menikmati kemenangan ini."


Editor: Nafis Abdullah