Penyerang Manchester City dari Brazil, Gabriel Jesus, sedang menikmati kehidupannya di Manchester sebagai salah seorang peledak berbisa.

Dia menjaringkan dua gol ketika membantu City membelasah Stoke City 7-2 di Etihad kelmarin selepas turut mencatat dua jaringan ketika membantu skuad kebangsaan Brazil menundukkan Chile 3-0 dalam aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2018.

Jesus kini telah mengutip tujuh jaringan keseluruhan bersama City bagi musim 2017/18, menjadikannya penjaring terbanyak pasukan bersama Sergio Aguero dan Raheem Sterling.

Di sebalik rekod cemerlang itu, penyerang berusia 20 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada Aguero kerana membantunya meningkatkan kualiti permainan sejak datang ke Manchester dari Palmeiras.

"Saya hanya menjaringkan sebanyak gol yang boleh. Sesuatu yang hebat apabila dapat menjaringkan gol ketika menyarung jersi Brazil dan ia juga sama sewaktu bersama City.

"Saya menikmati kehidupan di sini. Musim lalu, saya diganggu dengan masalah kecederaan tetapi itu tidak menghalang saya kerana sentiasa mendapat bantuan daripada pihak pengurusan pasukan.

"Aguero memainkan peranan penting, saya banyak belajar daripadanya. Begitu juga rakan sepasukan yang lain," kata Jesus.

Ketiadaan Aguero akibat kecederaan patah tulang rusuk sebelum ini membolehkan Jesus bergandingan bersama Sterling dan Leroy Sane di barisan depan skuad Citizens.

"Kami memiliki hubungan yang erat di luar padang dan itu menjadi kunci kejayaan kami.

"Dalam masa sama, kami adalah golongan pemain-pemain muda yang mempunyai kualiti, jadi ia menjadi faktor untuk berjaya di masa depan," katanya lagi.