Gabriel Jesus menegaskan tiada peluang buatnya dan Sergio Aguero untuk meninggalkan Manchester City sebelum sepak mula musim depan.

Penampilan pemain antarabangsa Brazil itu yang sedang mengharungi kempen Copa America 2019 bersama Brazil, hanya terhad kepada lapan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kempen musim lalu berikutan Aguero lebih diberi kepercayaan untuk menerajui jentera serangan.

Situasi itu mencetuskan spekulasi baru bulan lalu apabila City dilaporkan sedia melepaskan Jesus menjelang musim baru dalam usaha mengumpul dana untuk membawa masuk pemain lain.

Begitupun, pemain berusia 22 tahun itu melihat masa depannya masih di Stadium Etihad sambil menegaskan dia menghormati status Aguero di kelab itu, sekali gus mendorongnya untuk beralah.

"Dia adalah legenda di kelab ini -- dia pencetak gol terbanyak kelab," katanya kepada Daily Mail.

"Jelas sekali sebagai pemain, saya sentiasa mahu beraksi tetapi saya gembira dapat membantu selain saya menghormati Sergio.

"Saya fikir ia keluar daripada konteks persoalan apabila mengaitkan Aguero akan angkat kaki, begitu juga dengan saya."