Jesus istimewa buat City, kata Guardiola

Oleh Nafis Abdullah 5 Julai 2020 143
Jesus istimewa buat City, kata Guardiola
Pep Guardiola percaya Gabriel Jesus patut dinilai berdasarkan haknya di Manchester City dan tidak dibandingkan dengan penjaring terbanyak kelab sepanjang zaman, Sergio Aguero.

Kecederaan lutut yang dialami Aguero memberikan Jesus peluang untuk menjadi pilihan utama di bahagian depan walaupun pemain Brazil itu mengalami kemarau jaringan.

Sejak meledakkan gol kemenangan ketika berdepan Leicester City dan menanduk masuk gol penyamaan ketika menewaskan Real Madrid 2-1 dalam Liga Juara-Juara Eropah, Februari lalu, pemain berusia 23 tahun itu mengharungi lapan aksi tanpa sebarang gol untuk menambah jumlah 18 gol yang diraih.

Tatkala rakan sepasukannya menewaskan juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool, 4-0 pada Khamis lalu, Jesus melalui satu lagi aksi yang mengecewakan dan mensia-siakan peluang untuk mengukuhkan statusnya tatkala Aguero yang berusia 32 tahun kini memasuki tahun akhir dalam kontrak.

Menjelang pertemuand dengan Southampton di St Mary's, malam ini -- di mana Jesus menikmati aksi cemerlang dua tahun lalu, meledakkan gol penting dalam waktu kecederaan untuk mengesahkan mata ke-100 bagi musim 2017-18 -- Guardiola tampil mempertahankan penggempur itu.

"Tiada siapa boleh dibandingkan dengan Aguero dan apa yang dilakukan dalam karier. Pertama, dia lebih tua berbanding Jesus," katanya.

"Ia sempurna buat kami kerana mereka berbeza. Mungkin salah seorang bergelut dengan apa yang dimiliki seorang lagi pemain.

"Jesus mempunyai sesuatu yang unik dalam dunia. Dia membantu kami dengan lebih agresif. Dia seorang pejuang.

"Saya masih ingat jumlah gol yang dihasilkan dalam tiga atau empat atau lima perlawanan, terima kasih untuknya.

"Jesus istimewa buat kami. Tidak adil untuk membandingkan dengan pemain. Setiap mereka berbeza. Kami harus menyesuaikan diri dengan kualitinya untuk kebaikan dia dan pasukan."
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen