BOURNEMOUTH 2 CRYSTAL PALACE 1

Junior Stanislas memanfaatkan sepenuhnya kesilapan Mahamadou Sakho menerusi jaringan penalti lewat permainan yang menjamin kemenangan 2-1 Bournemouth ke atas Crystal Palace.

Dalam aksi tunggal Liga Perdana awal pagi tadi, penjaga gawang Palace, Wayne Hennessey, dilihat mampu menjadi wira pasukan itu selepas menidakkan percubaan Callum Wilson pada minit ketujuh selepas Bournemouth mendahului hasil jaringan awal David Brooks.

Walaupun Palace berjaya menyamakan kedudukan menerusi Patrick Van Aanholt, kelalaian Sakho menjatuhkan Jefferson Lerma dalam masa kecederaan memaksa pengadil memberikan penalti kepada pasukan lawan.

Berbaki tiga minit terakhir, Stanislas yang masuk menggantikan Joshua King sebelum itu, tenang menyungkit masuk gol kemenangan Bournemouth, sekali gus memastikan pasukan itu kembali ke landasan kemenangan selepas tewas kepada Burnley sebelum ini.

Brooks memberikan pembukaan sempurna buat Bournemouth menerusi penyudah menarik yang sempat singgah ke palang gol.

Palace segera memberi reaksi balas menerusi sepakan percuma Luka Milivojevic sebelum tandukan Steve Cook sekadar singgah ke dakapan Hennesey.

Palace, bagaimanapun, menemui gol penyamaan 10 minit sebelum tamat babak pertama.

Van Aanholt yang dilihat seakan-akan berada dalam kedudukan ofsaid selepas memperdaya Wilfried Zaha, mudah menyempurnakan penyudah dari jarak dekat.

Wilson mampu meletakkan Bournemouth kembali di depan pada minit ke-83, namun penyerang tersebut gagal melepasi situasi satu lawan satu berdepan Hennesey.

Kekecewaan itu, bagaimanapun, kembali terubat selepas Sakho menjatuhkan Lerma dalam kawasan penalti sambil Stanislas mengekalkan ketenangan dalam memastikan jaringan kemenangan buat Bournemouth.