Jaringan Grealish beri tamparan emosi buat United, kata Solskjaer

Oleh Penulis Jemputan 2 Disember 2019 889
Jaringan Grealish beri tamparan emosi buat United, kata Solskjaer
Ole Gunnar Solskjaer mengakui pemain Manchester United hilang ketenangan selepas Jack Grealish memberikan Aston Villa pendahuluan sebelum pertemuan di Old Trafford itu berakhir 2-2 awal pagi tadi.

The Red Devils mengubah kedudukan apabila usaha Marcus Rashford menyaksikan Tom Heaton menjaringkan gol sendiri dan Victor Lindelof menanduk gol kedua tuan rumah tetapi Tyrone Mings menyamakan kedudukan untuk memberikan Villa satu mata.

Keputusan itu bermakna United hanya menang dua daripada sembilan aksi terakhir Liga Perdana Inggeris dan sambil mengingatkan skuadnya yang dibarisi ramai pemain muda, Solskjaer mendakwa hilang ketenangan menjadi punca kepada permainan tanpa hala tuju dalam babak pertama.

"Setiap perlawanan di laman sendiri, anda mahukan kemenangan, masuk ke padang percaya anda mampu meraih tiga mata tetapi anda perlu berdepan lawan dan babak pertama tidak begitu bagus," katanya.

"Jaringan pembukaan itu mengejutkan kami secara emosi. Kami tidak tenang sehingga perbincangan sewaktu rehat.

"Pemain memiliki perwatakan. Mereka muda, bertenaga dan beraksi jauh lebih bagus dalam separuh masa kedua tetapi ia adalah permainan yang melibatkan dua babak.

"Kami bertahan dengan buruk dan patut melakukan lebih baik. Namun, sekali lagi, kami harus belajar daripada perkara ini. Anda katakan setiap gol yang dilepaskan, ada perkara yang tidak berjalan dengan baik. Kami tidak keluar sebagai satu pasukan."

United kini menduduki tangga kesembilan liga, tewas empat kali dan mencatat enam keputusan seri daripada 14 perlawanan dan Solskjaer perlu mempersiapkan anak buahnya itu untuk menentang Tottenham Hotspur di laman sendiri Rabu ini sebelum seteru Manchester di Etihad, tiga hari kemudian.

Bekas penyerang The Red Devils itu memberikan suntikan moral buat pasukannya itu di dalam skuad menjelang minggu yang bakal memberi kesan besar kepada musim yang tidak konsisten serta masa depannya sendiri bersama kelab.

"Barisan pemain ini akan meningkat dan belajar daripada pengalaman ini," katanya.

"Sudah tentu, kami sebagai Manchester United tidak suka dengan kedudukan ketika ini tetapi itulah realiti dan kami hanya hadapi satu perlawanan dalam satu masa.

"Kami menghadapi cabaran Rabu ini, kemudian satu perlawanan besar tiga hari kemudian, jadi semua pemain tidak sabar untuk aksi seterusnya. Tidak konsisten biasa berlaku kepada pemain muda.

"Anda lihat kadangkala kami menampilkan aksi bola sepak yang memukau dan ada ketika ia terlalu terbuka. Kami gagal mengawal permainan tetapi tidak mampu melakukan tentangnya lagi.

"Kami perlu terus meningkat dan menjadi lebih baik. Kami perlu berusaha sebagai satu pasukan dan menjadi unit yang lebih kuat."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen