Pengendali Monaco, Leornado Jardim, mengkritik keputusan Radamel Falcao untuk bermain secara pinjaman bersama Manchester United dan Chelsea tatkala penyerang Colombia itu masih bergelut untuk menemui sentuhannya.

Falcao mengalami kecederaan lutut yang serius ketika musim pertamanya bersama Monaco sebelum dipinjamkan kepada United bagi musim 2014-15.

Dia kemudiannya dipinjamkan kepada Chelsea pada musim berikutnya.

Namun, dia gagal membuat sebarang impak, sebaliknya hanya meledak lima gol selepas beraksi untuk dua kelab tersebut.

Sekembali ke Ligue 1, Falcao telah pun meledak dua gol selepas empat penampilan dan walaupun mempersoal motifnya ke England, Jardim menegaskan pemain berusia 30 tahun itu kekal antara penyerang terbaik dunia.

"Masalah utama dengan Falcao bukan sahaja melibatkan kecederaan lututnya, bahkan juga berkait dengan penampilannya selama dua musim bersama Chelsea dan Manchester," kata Jardim.

"Dia cuba untuk bermain di tahap tertinggi meskipun pemain lain yang mengalami kecederaan serius sepertinya, akan kekal di kelab untuk cuba kembali pulih dengan cepat.

"Kebiasaannya, pemain yang mengalami kecederaan serius tidak akan berhijrah. Bukan mudah untuk kembali pulih dan pada masa sama cuba bermain seperti biasa. Pemain bola sepak bukannya robot."

Jardim menambah: "Saya tidak pasti sama ada keputusan itu satu kesilapan, tetapi ia tidak berjalan dengan baik. Dia tidak beraksi, namun ia tidak mencalar kualitinya kerana dia kekal antara penyerang terbaik dunia.

"Dia masih sama. Dia baru berusia 30 tahun. Kami di sini bertekad membantunya kembali menemui sentuhan berbisa."