Mino Raiola berkata Manchester United mesti menilai mengapa Erling Haaland memilih Borussia Dortmund berbanding mereka dan bukannya cuba menyalahkan pihak lain.

Bintang sensasi, Haaland, yang menjaringkan 28 gol dalam 22 penampilan semua pertandingan bersama Salzburg musim ini, menandatangani kontrak selama empat setengah tahun dengan Dortmund, Ahad lalu.

United, RB Leipzig dan Juventus turut difahamkan berminat, dengan laporan mencadangkan pengendali The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer, serta naib pengerusi, Ed Woodward, telah berbincang dengan Salzburg dan wakil Haaland -- termasuk bapanya, Alf Inge Haaland dan Raiola -– sebelum menarik diri daripada perjanjian yang telah dilakukan.

United dianggap tidak berpuas hati dengan tuntutan Raiola semasa rundingan dilakukan tetapi ejen itu, yang turut mewakili Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic, menafikan dakwaan tersebut.

"Saya memandang aneh perkara ini dan sangat kecewa," kata Raiola kepada The Telegraph.

"Tiada isu melibatkan saya dengan Woodward. Ia merupakan perbincangan yang normal dan pemain tersebut telah memilih jalan yang berbeza.

"Jika mereka mahu menyalahkan orang lain, salahkan saya, perkara paling penting adalah pemain kekal gembira. Dia telah membuat keputusan dan kami telah mengharungi proses yang normal.

"Kelab yang paling banyak berhubung dengan Haaland adalah United dan dia seorang pemain yang mengenali Solskjaer.

"Jelas sekali, Haaland berasakan ia (menyertai United) bukan langkah terbaik dalam kariernya.

"Dia memilih Dortmund berbanding kelab-kelab lain dan dia gembira dengan keputusannya."



Editor: Ammar Hakim