Jurgen Klopp secara bergurau menyatakan Christian Benteke telah dijual kepada Crystal Palace kerana pemain itu telah memecahkan cermin matanya musim lalu.

Cermin mata milik Klopp pecah ketika pemain itu meraikan gol kemenangan 5-4 ke atas Norwich City dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Benteke meninggalkan Anfield Ogos lalu, selepas hanya semusim di Merseyside.

Bercakap kepada akhbar Liverpool Echo, bekas pengendali Borussia Dortmund itu sempat berjenaka dengan mengatakan penyerang Belgium itu telah dijual gara-gara menyebabkan dirinya terpaksa membuat cermin mata yang baru.

"Cermin mata saya pecah!," katanya mengenai insiden itu.

"Christian Benteke yang memecahkan cermin mata saya. Jadi kepada pemain lain, jangan pecahkan cermin mata saya, kalau tidak kamu akan dijual!"

Walaupun perlawanan di Carrow Road itu meninggalkan kenangan manis, Klopp menjelaskan bahawa dia mahu pemainnya menghadirkan kemenangan dengan cara yang lebih mudah.

"Saya tidak pernah mengharapkan perlawanan sebegini kerana ia cukup mencemaskan," katanya.

"Tengok apa yang berlaku ketika berdepan Bournemouth, kadang kala nasib tidak menyebelahi kami.

"Ketika perlawanan berdepan Norwich berakhir musim lalu, saya tahu bahawa kami akan berdepan senario sama, namun kami mungkin tidak akan bernasib baik.

"Perlawanan itu meninggalkan kenangan yang menakjubkan. Ia membuktikan pasukan ini memiliki semangat juang yang tinggi."