Jangan buat perkara memalukan -- Neville

Oleh Penulis Jemputan 6 Oktober 2018 656
Jangan buat perkara memalukan -- Neville
Bekas kapten Manchester United, Gary Neville, menganggap desas-desus mengenai pemecatan pengurus kelab itu, Jose Mourinho, sebagai sesuatu yang memalukan.

The Daily Mirror melaporkan bahawa masa depan pengurus itu bergantung kepada keputusan perlawanan berdepan Newcastle United, awal pagi esok.

Mourinho mengadakan sidang media ringkas semalam. Bagi Neville, pengurus berusia 55 tahun itu sudah menyampah dengan segala kritikan yang dilemparkan.

Keadaan itu jelas memberi kemarahan buat Neville apabila Mourinho seakan-akan dipaksa keluar oleh pihak atasan United yang terlalu mudah membuat keputusan tersebut.

"Saya amat marah," kata Neville kepada Sky Sports. 

"Kemarahan yang sama seperti yang saya rasakan pada tiga ke empat tahun yang lalu. David Moyes dipecat dan hanya diberitahu sehari sebelum itu. Louis Van Gaal pula dipecat sebelum aksi final pada 2016 dan hanya mengetahuinya melalui orang lain.

"Jika benar Mourinho juga akan meninggalkan Old Trafford dengan cara yang sama, penyokong akan mula menyalahkan pentadbiran pasukan.

"Mourinho akan mendapat sokongan yang besar esok dan saya juga akan berada di sana untuk menyokong beliau. Ini amat memalukan. Apakah nilai bagi Manchester United sekarang? Ia sudah berlarutan selama lima tahun.

"Dia antara pengurus terbaik di dunia. Saya rasakan setiap pengurus akan bergelut di United jika ini cara pihak pentadbiran menjalankan tugas.

"Saya sudah tidak tahan. Saya cintakan kelab ini. Saya akan cintakannya sehingga mati. Kelab ini telah memberikan segala-galanya buat saya dan saya tidak akan berpaling daripadanya. Namun, saya perlu katakannya, sesuatu perlu diubah dan ia bukannya pengurus.

"Saya harap ia tidak berlaku. Pemain menjadi punca kepada kemelut ini. Ibarat bahagian ekor yang mengawal seekor anjing.

"Saya mungkin terlalu emosi tetapi saya tidak kisah untuk berlaku jujur dalam menegakkan perkara ini. Ada sesuatu yang tidak kena pada teras pasukan ini," ujar Neville.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen