Jangan beri ruang kepada Zaha -- Guardiola

Oleh Staff Writer 19 Januari 2020 1694
Jangan beri ruang kepada Zaha -- Guardiola
MAN CITY 2 CRYSTAL PALACE 2

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengakui persembahan hambar ketika bertahan membenarkan Crystal Palace seri 2-2 di Stadium Etihad semalam.


Tuan rumah ketinggalan terlebih dahulu menerusi jaringan pembukaan Cenk Tosun pada minit ke-39 tetapi Sergio Aguero meledak dua gol pada penghujung permainan untuk City kembali mendahului 2-1.

Bagaimanapun, kegagalan barisan pertahanan mengawal pergerakan Wilfried Zaha yang berjaya melepaskan hantaran silang hingga memaksa Fernandinho melakukan jaringan sendiri.

"Kami perlu mengelak kesilapan seperti jaringan kedua Palace," kata Guardiola.

"Jangan benarkan Zaha membuat larian, ia semudah itu. Namun, kami memberikan ruang kepada pemain tersebut.

"Tidak (ia bukan kerana hilang tumpuan), pemain-pemain kekal fokus sepanjang permainan. Kami akan berusaha untuk menyelesaikannya dan memperbaikinya."

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kini ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Liverpool, dan Guardiola mencadangkan pasukannya perlu membuat persiapan menghadapi Sheffield United, Selasa ini.

"Mungkin saya akan menyaksikan perlawanan Liverpool berdepan Manchester United, mungkin akan membuat persiapan menghadapi Sheffield. Saya tidak tahu."

City berasakan mereka meraih sepakan penalti ketika ketinggalan 1-0, namun pengadil perlawanan, Graham Scott, menolak keputusan tersebut selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan bola terkena tangan Raheem Sterling ketika melakukan hantaran silang.

Guardiola berkata mengenai insiden tersebut, "Sejujurnya, saya tidak arif tentang peraturan apabila bola terkena tangan. Bola seakan-akan terkena tangan, tetapi…"



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen