Alex Iwobi melabel berita yang mencadangkan kononnya dia akan berhijrah sebagai "berita palsu" berikutan kehadiran Wilfried Zaha.

Seperti yang dipetik daripada The Sun, pemain sayap Nigeria itu dilaporkan sedia angkat kaki berikutan tonggak Crystal Palace berkenaan "akan menambah tekanannya" dalam perebutan kesebelasan utama di Stadium Emirates.

Iwobi menambah: "Saya bangkit untuk melawan tetapi satu-satunya masa untuk saya mempertimbangkan untuk berpindah adalah sekiranya saya tidak dapat beraksi sekerap yang mungkin."

Akhbar British yang lain, bagaimanapun, menganggap komen itu sebagai amaran buat Arsenal, namun dakwaan itu disangkal pemain berusia 23 tahun itu di media sosial.

"Berita palsu dan ia salah satu cara untuk mengumpan pembaca! Saya tidak tahu kenapa beberapa akhbar gemar memutar-belitkan cerita," tulis Iwobi di Twitter.

"Saya berharap kami akan dapat memancing pemain bertaraf dunia manakala Arsenal mempamerkan kemajuan sebagai sebuah pasukan, saya tidak sabar untuk mengharungi musim baru ini," katanya.

Arsenal dilaporkan menyerahkan tawaran £40 juta (RM205.7j) awal bulan ini, namun masih gagal membawa masuk Zaha.

Bintang skuad The Eagles itu mahu merebut posisi yang sama walaupun pada masa yang sama, Unai Emery ingin memantapkan skuad dan meningkatkan pilihan pemainnya, namun Palace menilai Zaha berharga £80m (RM411.5j).