Bekas pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic, menyelesaikan perpindahannya ke West Brom dengan kontrak selama semusim.

Tonggak veteran berusia 36 tahun itu menjadi ejen bebas sejak meninggalkan Zenit sebaik kempen Liga Perdana Russia berakhir Julai lalu.

Tiga gelaran Liga Perdana dan Liga Juara-Juara (UCL) antara 10 koleksi piala yang pernah dimenanginya sepanjang sembilan tahun mengharungi kerjaya gemilang bersamaThe Blues di antara 2008 dan 2017.

"EPL merupakan liga terbaik di dunia," katanya, yang akan memakai jersi nombor 20 di West Brom, sejurus memuktamadkan perpindahannya semalam.

"Saya perlu mencabar diri sendiri dan saya bersedia untuk menghadapi cabaran. Saya sangat gembira berpeluang kembali beraksi dalam EPL.

"Saya harap akan berjaya di sini. Saya mempunyai cita-cita tinggi dan saya ingin membuktikan banyak perkara. Saya akan mencurahkan segalanya buat pasukan."



Baggies tumbang 0-3 kepada Leicester City di kandang sendiri dalam perlawanan sulung Ahad lalu sejak dipromosi ke EPL, sehubungan itu pengurus, Slaven Bilic, berasa seronok dapat membawa masuk pemain yang sudah terbukti kemampuannya.

Bilic berkata mengenai Ivanovic: "Dia adalah penambahan yang bagus buat kami, sebuah pasukan yang baru dipromosikan dalam EPL. Dia memenuhi kesemua kriteria yang kami kehendaki.

"Dia telah mencapai segala-galanya dalam kariernya -- ia amat mengagumkan. Kami gembira. Dia menambah kualiti dan pengalaman kami baik di padang mahupun di luar."

Selepas menghadapi Harrogate Town dalam Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi esok, West Brom akan menguji Everton di tempat lawan Sabtu ini.