MANCHESTER CITY 3 LEICESTER CITY 1

Kevin De Bruyne telah memaparkan aksi terbaiknya sejak sekian lama ketika Manchester City bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Leicester City 3-1, kata pengurus pasukan itu, Pep Guardiola.


Jaringan ke-17 Jamie Vardy dalam Liga Perdana Inggeris musim ini meletakkan The Foxes di depan di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Tetapi percubaan yang terbias daripada bekas pemain sayap Leicester, Riyad Mahrez, dan jaringan penalti Ilkay Gundogan membolehkan City mengubah keputusan itu sebelum ke bilik persalinan dan jaringan mudah Gabriel Jesus dalam babak berikutnya memastikan pasukan tuan rumah itu memperoleh tiga mata.

De Bruyne membantu jaringan Jesus dan Guardiola berasakan pemain kebangsaan Belgium itu telah memaparkan aksi yang lebih baik berbanding ketika menentang Arsenal dalam perlawanan terdahulu.

"Kevin De Bruyne seorang pejuang dan dia membantu kami untuk mengekalkan keamatan. Apabila dia bermain di bahagian depan, dia memberikan banyak tekanan," katanya kepada BBC Sport.

"Itu adalah aksi terbaiknya sejak sekian lama.

"Kami mencipta banyak dan mengawal bola dengan baik.

"Mustahil untuk menghalang jaringan seperti itu, mereka amat bagus.

"Pemain seperti (Youri) Tielemans, mereka amat bagus dalam melakukan hantaran.

"Tetapi kami amat agresif di bahagian depan dan kami amat bagus dalam melakukan gerakan satu-dua sebelum melakukan hantaran.

"Saya gemar untuk melihat pasukan saya bermain baik, jadi sudah pasti ia menjadi lebih baik apabila mereka menang.

"Kami menilai semula perlawanan terakhir menentang Arsenal dan Oxford (United dalam Piala Liga) dan kami agak bergelut, jadi hari ini merupakan contoh terbaik mengenai cara sepatutnya kami bermain," katanya.

Leicester, pasukan di tangga kedua carta liga, masih berkelebihan satu mata di depan City tetapi pengurusnya, Brendan Rodgers, mengakui kekalahan itu perlu dijadikan pengajaran buat The Foxes.

"Saya fikir mereka amat-amat bagus dan hanya pasukan besar boleh beraksi di tahap seperti itu," katanya kepada Sky Sports.

"Kami amat kecewa dengan babak pertama tetapi kami beraksi lebih baik dalam babak kedua.

"Kami lebih berani untuk memegang bola.

"Malam ini merupakan pengajaran buat kami dan masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk setaraf dengan City.

"Kami mendahului ketika kami tidak bermain baik.

"Jamie amat cemerlang, sama seperti Kasper (Schmeichel), mereka menujukkan tahap mereka dalam perlawanan besar malam ini.

"Kami sedar kesukaran untuk beraksi di sini, dengan tahap yang dimiliki mereka.

"Kami meneruskannya dan terus berjuang tetapi ia bukan prestasi terbaik kami, City amat cemerlang.

"Keputusan seperti ini amat baik kerana skuad muda kami dapat mempelajari sesuatu daripadanya," katanya.