Ashley Young dijangka akan menyertai Inter selepas Manchester United bersetuju untuk menjual pemain berpengalaman itu.

Omnisport difahamkan perpindahan itu memerlukan jaguh Serie A berkenaan melabur sebanyak £1.3 juta (RM6.9j), bergantung kepada pemeriksaan kesihatan dan syarat peribadinya.

Young menyertai United daripada Aston Villa pada 2011 dan telah membuat 261 penampilan serta menyumbangkan 19 gol.

Pemain berusia 34 tahun itu telah memenangi empat gelaran utama bersama The Red Devils, termasuk kejayaan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2012-13. Namun, kemunculan pemain remaja, Brandon Williams, telah menyisihkannya daripada barisan utama musim ini.

Ketika di Old Trafford, Young mengubah peranannya sebagai pemain sayap sehingga menjadi pilihan utama Gareth Southgate untuk mengisi pertahanan kiri ketika England mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018.

Kemenangan 2-1 ke atas Croatia di Moscow masih segar buat pemain yang pernah 39 kali mewakili negaranya itu dengan menghasilkan tujuh gol.

Perpindahan Young itu secara tidak langsung meneruskan perkembangan akhir-akhir ini apabila ramai tonggak meninggalkan Old Trafford untuk berkelana ke San Siro, yang menyaksikan Alexis Sanchez menyertai Inter secara pinjaman bagi mengikuti jejak langkah rakan sepasukan, Romelu Lukaku, yang berhijrah secara tetap Ogos lalu.

Di bawah bimbingan bekas pengurus Itali dan Chelsea, Antonio Conte, Nerazzurri kini bersaing untuk merebut Scudetto pertama sejak 2010 apabila menghuni tangga kedua Serie A -- dua mata dipisahkan dengan pendahulu, Juventus.




​Editor: Shaiful Shamsudin