Pemain Manchester City yang menguasai masa pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini telah mengejutkan Pep Guardiola.

City menguasai tangga teratas EPL selepas 18 perlawanan dengan kelebihan 11 mata mengatasi pencabar terdekat, Manchester United, susulan 16 kemenangan berturut-turut -- satu rekod baru EPL.

Sekiranya mereka melanjutkannya kepada 20 perlawanan, maka City akan memadam pencapaian Guardiola sebelum ini bersama Bayern Munich.

Sungguhpun mempunyai kejayaan yang sama di Jerman dan Barcelona dalam LaLiga, Guardiola masih terkejut betapa cepatnya City menguasai lawan mereka musim ini.

Bagaimanapun, jurulatih itu lebih cenderung untuk meredakan prospek kejuaraan City tatkala mereka menuju jadual padat hujung tahun ini.

"Tidak (saya tidak menjangkakan ini), saya tidak tahu (berapa jumlah mata yang sesuai)," katanya dalam sidang media menjelang pertembungan dengan Bournemouth, hari ini.

"Saya gembira berada di mana kami berada tetapi saya tidak mengharapkannya, saya ulangi, ini tidak normal.

"Saya menjangkakan akan tewas dan kehilangan banyak mata, namun saya gembira kerana kami akan berjuang untuk terus tidak kalah, itu yang sedang berlaku. Kami akan dikalahkan tetapi kami akan berjuang untuk mengekalkannya.

"Tidak ada keraguan mengenainya kerana cara kami bermain di Leicester, cara kami bermain melawan Tottenham dan Swansea, pemain telah menunjukkan bahawa mereka masih lapar untuk memenangi perlawanan lain.

"Kami akan kehilangan mata dan selepas itu, kita akan melihat bagaimana kami bertindak balas.

"Masih ada banyak mata untuk dimenangi dan permainan untuk diharungi. Membuat terlalu banyak perancangan untuk masa depan adalah kesilapan besar kerana saya tidak tahu berapa ramai pemain yang harus kami ada, berapa banyak kecederaan yang akan kami hadapi," katanya.