Penjaga gol Liverpool, Alisson, memberikan penghargaan kepada pengurus, Jurgen Klopp, di atas impaknya buat juara Liga Perdana Inggeris itu dan yakin pengendali kelahiran Jerman itu baru sahaja bermula.

Selepas 30 tahun tanpa gelaran liga, Liverpool akhirnya menamatkan kemarau itu musim ini, mengetepikan pencabar terdekat dan juara bertahan, Manchester City dengan berkelebihan 18 mata.

Meraih 99 mata selepas tamat 38 perlawanan, sementara memastikan kejuaraan ketika saingan berbaki tujuh perlawanan -- ia merupakan rekod yang tidak dapat dicapai mana-mana pasukan sebelum ini.

Liverpool telah menjuarai Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab musim ini, tetapi usaha untuk mempertahankan Liga Juara-Juara (UCL) berakhir di tangan Atletico Madrid Mac lalu, Chelsea menyingkirkan mereka daripada saingan Piala FA sementara tersingkir daripada saingan Piala EFL apabila tewas kepada Aston Villa.

Bagaimanapun, Alisson berasakan musim ini memberikan pentas buat Klopp akan berusaha untuk meningkatkan lagi usaha mereka bagi musim hadapan.

"Ini merupakan musim yang paling memenatkan pernah saya alami," kata Alisson. "Saya tidak pasti sama ada ia berpunca daripada pandemik Covid-19, musim yang panjang. Ia juga merupakan paling kurang perlawanan yang saya sendiri hadapi ekoran masalah kecederaan.

"Kami tersingkir awal daripada saingan UCL, tetapi saya berasakan kepenatan itu hadir berpunca daripada usaha yang kami berikan kepada pasukan.

"Dia mempercayai kemampuan kami, bukan hanya ketika sesi latihan tetapi dalam setiap aspek.

"Klopp merupakan seorang yang bersemangat dan dia menampilkannya. Dia mahu menang dan membuatkan Liverpool sebagai salah sebuah kelab yang terbaik."