Southampton mendedahkan hasil awal imbasan lutut Danny Ings 'memihaknya' apabila penyerang itu dijangka terlepas kecederaan serius.

Pemain antarabangsa England itu terpaksa dipapahkan keluar pada minit ke-85 dalam kemenangan 4-3 ke atas Aston Villa, semalam, selepas berlaga dengan Trezeguet.

Ings telah merakamkan lima gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas meletakkan Southampton selesa 4-0 di depan, sebelum kebangkitan Villa mencetuskan hura-hara pada lewat permainan.

Dia pernah berehat panjang akibat dua kecederaan lutut sementara pengurus, Ralph Hasenhuttl, pada awalnya mengakui "ia tidak kelihatan baik" sejurus perlawanan di Villa Park itu berakhir.

Namun, malam tadi pelawat mengesahkan di laman sesawang mereka bahawa imbasan awal menyebelahi Ings dan dia akan menjalani penilaian lebih lanjut dalam beberapa hari lagi.




Ings telah meledak 27 gol sejak berkelana ke Southampton secara kekal pada Julai 2019 -- hanya Jamie Vardy daripada Leicester City memiliki angka lebih baik daripadanya dengan 29 gol.

18 gol itu disumbangkan melalui kaki kanannya yang dominan dan lapan jaringan daripada rembatan kidalnya, sementara lima golnya dari luar kotak penalti merupakan yang tertinggi di samping James Maddison dan Kevin De Bruyne.

Southampton akan kembali menyambung kempen dengan menentang Newcastle United, awal pagi Sabtu ini, sehari selepas Gareth Southgate menamakan barisan England untuk tiga perlawanan antarabangsa bulan ini.