Harry Kane melabel impak Christian Eriksen daripada bangku simpanan sebagai "sempurna" ketika pemain itu membantu Tottenham Hotspur bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Aston Villa 3-1 dalam Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Spurs ketinggalan 0-1 di Stadium Tottenham Hotspur ketika Eriksen, yang masa depannya dengan pasukan itu masih tiada kepastian, dimasukkan sebagai pemain gantian.

Pemain kebangsaan Denmark itu amat mengagumkan ketika menjana serangan dan hantaran lintangnya menemui pemain baru, Tanguy Ndombele, yang melakukan jaringan jarak jauh gemilang untuk menyamakan kedudukan.

Kapten pasukan, Kane, menjaringkan dua gol untuk menutup perlawanan itu dengan kemenangan 3-1 dan memastikan permulaan kukuh buat finalis Liga Juara-Juara itu.

Bercakap kepada Sky Sports, Kane memuji gaya permainan Eriksen, yang telah lama dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid, yang membantu Spurs mengawal rentak serangan.

"Kita tahu siapa Eriksen. Saya sudah beraksi dengannya untuk lima, enam tahun sekarang.

"Kualitinya ketika mendapat bola, bantuan jaringan dan gol... Dia masuk dan menguasai rentak dan ia amat sempurna bagi saya.

"Kami memulakan babak kedua dengan tempo yang tinggi, dan apabila Tanguy memperoleh jaringannya, kami memacu permainan hingga ke penamat.

"Kami kekal dalam permainan, mencipta peluang dan syukurlah beberapa daripadanya datang kepada saya dan saya menjaringkannya," katanya.

Spurs ketinggalan selepas John McGinn menjaringkan gol pembukaan dalam babak pertama, namun Villa tidak dapat mengekalkan aksi bertahan cemerlang gara-gara keletihan.

"Kami telah menukarkannya kepada keputusan yang berbeza," kata McGinn.

"Kami memberikan akaun yang baik buat diri kami, namun kami perlu menjadi lebih berani untuk menyerang dan berhenti daripada melakukan kesilapan.

"Pasukan seperti Tottenham akan menghukum anda," katanya.