Ketua Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis, berkata penyelidikan yang telah dilakukan oleh Unai Emery terhadap bakat muda di kelab telah menjadi salah satu faktor The Gunners memilihnya sebagai pengurus baru.

Emery menggantikan Arsene Wenger yang telah menamatkan tempoh 22 tahun bersama pasukan selepas mengakhiri musim kedua berturut-turut di luar kelompok empat teratas liga.

Emery, yang juga bekas pengurus Paris Saint-Germain (PSG) dan Sevilla, telah mengatasi tujuh lagi calon untuk menggantikan tempat pengendali dari Perancis itu.

Gazidis menegaskan bahawa dia berasa ilmu pengetahuan tinggi yang dipamerkan Emery ketika sesi temuduga membolehkan warga Sepanyol itu menerima tawaran.

"Apa yang sangat membuatkan anda kagum adalah dia sentiasa menyelak helaian mengenai apa yang telah dilakukan," kata Gazidis.

"Sebagai contoh, apabila kami bercakap tentang pemain muda seperti Ainsley Maitland-Niles, dia mengenalinya. Emery telah memerhatikannya, mengetahui corak permainan serta kebolehannya dan sangat gembira dengan potensi yang dimiliki.

"Segalanya dijelaskan dengan spesifik walaupun soalan demi soalan diberikan. Jawapan yang diberikan sentiasa hadir secara terperinci, menjelaskan bagaimana dia dan pasukannya akan menjalankan tugas terhadap setiap pemain serta membangunkan mereka menjadi pemain terbaik."

Dalam masa sama, Gazidis sedar akan masa yang diperlukan Emery walaupun pengurus itu meninggalkan PSG berbekalkan tiga trofi pada musim ini.

"Kerja keras bermula sekarang. Kami akan mengkaji jendela perpindahan tetapi terdapat aspek lain yang perlu dilihat seperti keadaan pasukan, perancangan pramusim dan cara untuk seluruh skuad bekerjasama.

"Saya sangat gembira dengan pelantikan Emery. Saya rasa dia sesuai dengan bola sepak di sini. Nilai yang diterapkan benar-benar berada di tahap seperti apa yang Arsenal perlukan.

Saya yakin sebaik sahaja corak permainan serta perancangannya telah dibawa ke Emirates serta Liga Perdana Inggeris, peminat-peminat Arsenal akan menikmatinya dan berasa teruja," tambah Gazidis.