Mesut Ozil dan Matteo Guendouzi perlu mengikut contoh Granit Xhaka jika mereka mahu menyelamatkan karier mereka bersama Arsenal, kata Mikel Arteta.

Gandingan tengah The Gunners, Ozil dan Guendouzi telah diketepikan daripada skuad utama Arsenal sejak kebangkitan yang dipamerkan pasukan di bawah kendalian Arteta, yang memimpin pasukan untuk merekodkan kemenangan keenam selepas lapan perlawanan.

Rentetan kemenangan itu termasuk dengan mengatasi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool kemudian menyingkirkan Manchester City dalam separuh akhir Piala FA, dengan Xhaka mencetus inspirasi dalam kedua-dua perlawanan.

Ia merupakan persembahan yang jauh berbeza jika dibandingkan sejak permulaan November lalu -- hampir dua bulan sebelum Arteta hadir sebagai ketua jurulatih -- apabila masa depan Xhaka di Stadium Emirates yang turut kelihatan sampai ke penghujung hingga lilitan kaptennya ditarik apabila memberikan reaksi terhadap herdikan peminat ketika digantikan.

"Cabaran bersama Xhaka adalah meyakinkan dia masih memiliki tempat dalam pasukan -- dengan saya turut mempercayai kemampuannya dan dia kini sudah menemui rentak terbaik," kata Arteta.

"Saya sangat gembira mendengar dan menyedari reaksi yang positif daripada peminat buat Xhaka. Saya berasakan mereka boleh menghargai kemampuannya sekarang. Apa yang berlaku sebelum ini adalah situasi sukar yang boleh dijadika sebagai pengalaman bagi masa akan datang.

"Dia seorang pemain yang boleh dijadikan contoh untuk bangkit selepas mengharungi situasi yang sangat sukar. Dia membuktikan jika anda memiliki kemahuan, anda akan bangkit semula."