Odion Ighalo masih belum menerima sebarang tawaran daripada Manchester United untuk memanjangkan kontrak pinjamannya yang akan tamat pada penghujung musim ini.

Bekas penyerang Watford itu menyertai United secara pinjaman daripada Shanghai Shenhua dalam jendela perpindahan Januari lalu.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, memuji Ighalo kerana mampu memberikan sesuatu yang berbeza di jentera serangan pasukannya walaupun masa depan pemain itu di Old Trafford masih belum jelas.

"Masih belum ada sebarang tawaran kerana musim ini masih belum tamat, saya masih belum menamatkan tempoh pinjaman saya," katanya kepada Elegbete TV.

"Saya tidak membuat keputusan sendiri dalam hidup saya. Saya mempunyai prinsip dan garis panduan untuk segala-galanya. Saya sentiasa berdoa kepada Tuhan untuk membimbing saya.

"Saya dapat melihat banyak ciapan mengenai perkara ini.

"Saya dapat lihat ramai yang terlalu teruja dengan berkata 'Pulang sahaja ke China' dan sesetengah pula berkata 'kekal di Man United'.

"Anda dapat dengar apa yang saya katakan? Saya masih belum berkata apa-apa kerana tiada apa untuk diperkatakan.

"Apabila musim ini tamat dan saya mendapat tawaran daripada dua pasukan, saya akan duduk dan berfikir mengenainya, berdoa mengenainya dan apa sahaja yang dimahukan Tuhan, saya akan menurutinya.

"Saya tidak hanya duduk dan membuat keputusan, dan saya tidak terbawa-bawa dengan apa yang orang lain katakan.

"Saya menyertai Manchester United dengan gaji yang dipotong kerana saya mahu melakukannya.

"Jadi, apa sahaja yang berlaku, saya mahu menamatkan musim ini dan tempoh perpindahan saya.

"Kemudian saya akan melihat apa yang saya ada.

"Man United mungkin akan menawarkan sesuatu, pasukan lain juga mungkin akan menawarkan sesuatu. Anda tidak akan tahu.

"Anda tidak boleh tergesa-gesa melakukan sesuatu perkara: 'Saya perlu ke sini, saya perlu ke sana.'

"Saya perlu bertenang dan menamatkan musim ini, berbincang dengan ejen saya tentang apa yang kami ada: 'A, B, C, D pilahan yang ada. Kami perlu memilihnya,'"katanya.