Ighalo dibenarkan terus sarung jersi The Red Devils

Oleh Shaiful Shamsudin 2 Jun 2020 123
Ighalo dibenarkan terus sarung jersi The Red Devils
Manchester United melanjutkan tempoh pinjaman Odion Ighalo daripada Shanghai Shenhua hingga Januari 2021.

Ighalo, yang bergabung dengan United Januari lalu, telah menyumbangkan empat gol dalam lapan penampilan sebelum musim ini tertangguh akibat krisis COVID-19.

Bagaimanapun, perjanjian melibatkan pemain antarabangsa Nigeria itu berakhir kelmarin sebelum The Red Devils bersetuju untuk mengekalkannya di Old Trafford hingga 31 Januari tahun depan.

Biarpun bekas penyerang Watford itu -- merupakan penyokong United sejak kecil lagi -- belum berkesempatan beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), dia telah mencatat gol dalam Liga Europa dan Piala FA ketika beraksi dalam barisan utama.

Bercakap di MUTV minggu lalu, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, mengakui berharap untuk menyambung khidmat pemain berusia 30 tahun itu.

 

"Perjanjian pinjamannya akan berakhir hujung bulan ini (Mei), jadi dia sepatutnya kembali ke pangkuan kelab induknya," kata Solskjaer.

"Kami sedang berbincang. Majikan asalnya melayani kami dengan baik apabila membenarkannya beraksi untuk kelab impiannya.

"Ia umpama satu impian buatnya dan semoga dia dapat melengkapkan apa yang dimulakannya, semoga dia dapat menghadiahkan trofi buat kami."

Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal bersambung 17 Jun ini dengan barisan pemain mula menjalani latihan minggu lalu.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen