Zlatan Ibrahimovic berkata Pep Guardiola adalah jurulatih paling 'tidak matang' yang pernah dia bekerjasama dalam kerjaya bola sepaknya.

Pengurus Manchester City itu melakar kejayaan 2-1 menentang pasukan Ibrahimovic dalam 'derby' Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Ahad lalu, dengan dua individu itu mempunyai hubungan buruk ketika bersama-sama di Barcelona.

Ibrahimovic berpindah ke Camp Nou dari Inter pada 2009 tetapi hanya menghabiskan satu musim di bawah bimbingan Guardiola sebelum kembali ke Serie A dengan menyertai AC Milan.

Walaupun Guardiola dan Ibrahimovic memenangi gelaran La Liga 2009-10 bersama-sama, bekas penyerang Sweden itu tidak teruja dengan cara jurulatih Catalan itu mengendalikannya dan pemain bintang, Lionel Messi.

"Saya menjaringkan banyak gol dalam enam bulan pertama dan kami memenangi dua Piala Super," kata Ibrahimovic kepada Sky Italia. "Enam bulan pertama adalah sempurna. Selepas itu, kami mengubah sistem dan taktik. Ia tidak baik untuk saya, jadi kelab itu memberitahu saya agar bercakap dengan Guardiola.

"Dan saya memberitahu Guardiola bahawa dia telah mengorbankan pemain lain untuk Messi. Dia memberitahu saya bahawa dia memahami saya. Selepas itu, dia meletakkan saya di bangku simpanan untuk perlawanan seterusnya, satu selepas itu dan satu selepas itu.

"Saya fikir, 'dia menyelesaikan masalah dengan baik!' Selepas itu, dia tidak bercakap dengan saya atau memandang kepada saya. Apabila saya masuk ke bilik dia akan keluar. Saya mahu berjumpa dengannya dan dia akan pergi ke tempat lain.

"Saya faham bahawa ada sesuatu di luar bola sepak. Tetapi masalahnya adalah dia, dia yang tidak menyelesaikan masalah dengan saya," katanya.

Ibrahimovic mendedahkan bagaimana dia mula sedar mengenai perselisihan dengan Guardiola selepas tiba di Barcelona.

"Saya masih ingat pada hari pertama saya, dia memberitahu saya bahawa pemain Barcelona tidak datang untuk latihan dengan Ferrari atau Porsche," kata pemain berusia 36 tahun itu.

"Dia telah menilai saya tetapi jika anda tidak mengenali seseorang, maka anda tidak boleh menghukum mereka. Saya mempunyai pengalaman bersama dengannya, saya tidak tahu mengenai orang lain. Tetapi saya mengetahui perkara yang sama berlaku kepada (Mario) Mandzukic dan (Samuel) Eto'o.

"Dia bukan sahaja jurulatih terburuk yang pernah saya bekerjasama tetapi dia pastinya yang paling tidak matang -- kerana orang lain menyelesaikan masalahnya," katanya lagi.