Pemain Manchester United, Juan Mata, berkata gelagat Zlatan Ibrahimovic ketika di dalam bilik persalinan membawa aura positif terhadap pasukan itu musim ini.

Bekas kapten Sweden itu menerima pujian daripada pengendali, Jose Mourinho, kerana memberi pengaruh yang kuat terhadap pemain muda di Old Trafford.

Mata berkata karektor pemain berusia 35 tahun itu memastikan rakan sepasukan lain kekal fokus meskipun menempuh kempen penuh liku musim ini.

"Dia telah menghadirkan pelbagai aspek penting terhadap pasukan, bukan sahaja mentalitinya bahkan juga fahamannya terhadap bola sepak di samping karektornya ketika di bilik persalinan," Mata memberitahu talkSPORT.

"Dia sering kali bersuara pada saat penting bagi memberi motivasi kepada pemain lain. Dia seorang yang kelakar, jadi kehadirannya membawa kesan baik terhadap pasukan.

Ibrahimovic ketika ini adalah penjaring terbanyak United dengan lapan gol daripada 17 perlawanan meskipun sudah mencecah usia 35 tahun.

Mata turut percaya bekas penyerang Paris Saint-Germain itu adalah seorang pemain yang cukup unik pada masa ini.

"Sukar untuk memiliki kualiti sepertinya," tambahnya. "Pemain seperti Lionel Messi, Cristiano Ronaldo adalah cukup unik dan Ibra berada dalam kategori itu."