Zlatan Ibrahimovic mendedahkan dia berpeluang untuk tiba Manchester United setahun lebih awal serta berkata dia akan terus menakluk ke mana sahaja dia pergi.

Pemain berusia 35 tahun itu menyertai skuad kendalian Jose Mourinho dari Paris Saint-Germain (PSG) dan kelab itu bersedia untuk menawarkan lanjutan kontraknya selama setahun lagi.

Ibrahimovic berpeluang ke Old Trafford yang ketika itu dibimbing Louis van Gaal, namun memutuskan untuk kekal bersama PSG buat musim keempat.

Bekas tonggak antarabangsa Sweden itu gembira dapat menyarung jersi United dan beranggapan kelab Inggeris itu sebaris dengan bekas-bekas kelabnya, termasuk Barcelona.

"Saya boleh tiba di sini setahun lebih awal tapi saya memilih kekal di PSG," ujar Ibrahimovic.

"Saya tidak berasakan ia masa yang sesuai dan saya tidak menyesalinya.

"Saya hadir di sini pada usia 35 tahun. Saya boleh menjalani kehidupan di rumah dan berasa gembira, saya boleh mengembara secara bersendirian dan menakluki ke mana sahaja saya pergi.

"Saya tidak akan menolak cabaran. Ramai pemain kekal di suatu tempat dan menanti ibu mereka memasak untuk mereka.

"Saya boleh tinggal di Malmo dan menjalani kehidupan selesa.

"Saya menemui sebuah kelab yang sebaris dengan kelab-kelab besar yang pernah saya wakili, Barcelona dan AC Milan."

Ibrahimovic menegaskan United sedang berusaha gigih untuk kembali berada di tahap di mana mereka bersaing merebut kejuaraan utama.

"United tidak memenangi trofi utama pada tahun lalu, namun kami memiliki individu yang mampu menjulang kembali kelab ini," katanya.

"Kami bekerja keras untuk itu. United perlu berada di puncak pada setiap tahun tapi ia memerlukan masa."

Bercakap menjelang aksi bertemu Feyenoord dalam perlawanan Liga Europa pada awal pagi esok, Ibrahimovic tidak menghormati lawannya itu.

"Sudah lama saya meninggalkan Belanda -- ketika saya di Ajax, Feyenoord tidak memenangi apa-apa," tambahnya.

"Saya tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Feyenoord."