Zlatan Ibrahimovic mencadangkan dia mungkin kembali beraksi dalam posisi berbeza apabila menyarung semula jersi Manchester United bagi musim ini.

Pemain berusia 36 tahun itu telah direhatkan sejak mengalami kecederaan lutut dalam aksi suku akhir Liga Europa (UEL) ketika meraih kemenangan ke atas Anderlecht pada April lalu tetapi Jose Mourinho mencadangkan penyerang itu bakal kembali bermain pada penghujung 2017.

Ibrahimovic mengetuai jentera serangan skuad kendalian Mourinho musim lalu di samping pemain tengah yang lain seperti Henrikh Mkhitaryan, Ander Herrera dan Paul Pogba.

Romelu Lukaku mengambil alih tempat pemain kelahiran Sweden itu dan menyarung jersi nombor 9 selepas berhijrah dari Everton tetapi Ibrahimovic menyatakan dia beralih ke jersi nombor 10 dan akan bertindak sebagai pemain dalam posisi tersebut."Pada saya, nombor 10 adalah bintang," katanya. "Pemain yang akan mengubah rentak permainan, memenangi perlawanan dan bertindak sebagai ketua. Dan saya melihat diri saya dalam posisi itu.

"Sejujurnya, ia telah membangkitkan semangat saya daripada kecederaan ini kerana saya telah menyarung jersi nombor ini untuk Sweden dan Paris Saint-Germain.

"Saya mungkin mengambil nombor ini jika kekal di Inter tetapi saya berhijrah ke Barcelona.

"Saya berasakan ia adalah posisi yang sangat sesuai untuk saya," katanya.

Bercakap mengenai kecederaan lututnya, Ibrahimovic menyifatkan ia sebagai satu kesakitan selepas menelan lidahnya sendiri."Saya cuba menahan bola dengan dada tetapi gagal mengimbangi badan dan ia menjadi punca kepada kecederaan lutut saya. Saya tidak pernah mengalami kecederaan seperti ini tetapi ia rasa seperti menelan lidah saya," katanya lagi.