Klaas-Jan Huntelaar telah mengesahkan dia bakal meninggalkan Schalke pada penghujung musim ini tetapi menolak sebarang perpindahan ke China mahupun Turki.

Huntelaar mengambil keputusan untuk berhijrah dari Veltins-Arena apabila sekadar membarisi kesebelasan utama pasukan sebanyak lima kali.

Pemain berusia 33 tahun itu telah dikaitkan bakal kembali menyertai bekas kelabnya, Ajax, pada musim panas nanti.

"Saya tidak berpuas hati dengan cara pengurusan Schalke buat masa ini. Kontrak saya bakal berakhir dan saya akan meninggalkan kelab ini," jelas Huntelaar.

Di mana Huntelaar bakal beraksi musim hadapan masih samar tetapi pemain kebangsaan Belanda itu telah menolak tawaran beraksi di sesetengah negara.

"Ini merupakan keputusan yang penting dalam kerjaya saya. Saya benar-benar mahu bermain bola sepak.

"Saya masih bermotivasi tinggi dan mengetahui saya mampu memberikan yang terbaik di tahap tertinggi.

"Terdapat beberapa peluang untuk saya kembali beraksi di Belanda. Saya tidak akan berhijrah ke China ataupun Turki."