Hughton: Kami berhak atasi Arsenal

Oleh Staff Writer 27 Disember 2018 298
Hughton: Kami berhak atasi Arsenal
ARSENAL 1 BRIGHTON 1

Chris Hughton berasakan Brighton and Hove Albion berhak meraih lebih daripada satu mata ketika seri dengan Arsenal 1-1 di Stadium Emirates, awal pagi tadi.


Brighton bergelut pada awal permainan dan ketinggalan selepas Pierre-Emerick Aubameyang meledak golnya yang ke-13 musim ini manakala penjaga gol, Mat Ryan, menafikan dua percubaan penyerang itu daripada mencipta hatrik.

Bagaimanapun, The Seagulls mula menemui rentak permainan selepas 30 minit perlawanan berlangsung apabila Jurgen Locadia menyamakan kedudukan pada minit ke-37.

Solly March, Davy Propper dan Locadia mempunyai peluang untuk meletakkan pelawat di hadapan, namun terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Selepas permulaan yang hambar dan ketinggalan ketika berdepan pasukan seperti Arsenal, kami telah menunjukkan semangat untuk kembali menyamakan kedudukan," katanya.

"Saya berasakan dalam separuh masa kedua, kami adalah ancaman yang lebih berbahaya berbanding lawan. March memiliki peluang terbaik untuk menoktahkan permainan.

"Secara keseluruhan, kami berhak meraih lebih daripada satu mata dalam perlawanan ini tetapi berdepan antara pasukan utama saingan EPL, keputusan seri sudah memadai buat Brighton."

Ryan -- yang bakal meninggalkan kelab untuk saingan Piala Asia pada Januari ini -- bersetuju dengan pengurusnya yang menyifatkan satu mata yang diperoleh sebagai pemangkin untuk bangkit bagi aksi-aksi seterusnya.

"Mereka telah menghukum kami pada awal permainan tetapi Brighton bangkit untuk terus bersaing dalam perlawanan ini. Malangnya, kami tidak berjaya memperoleh kemenangan," kata Ryan.

"Kami telah memberi tekanan kepada mereka dan menggugat rentak permainan mereka. Bagi Arsenal yang beraksi di laman sendiri, mereka telah kehilangan dua mata berharga."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen