Huddersfield Town melantik bekas pembantu Marcelo Bielsa, Carlos Corberan, sebagai pengurus baru.

Corberan pada awalnya bergabung dengan Leeds United sebagai jurulatih skuad B-23 menjelang kempen 2017-18 tetapi segera dinaikkan pangkat untuk bekerjasama dengan Bielsa.

Dia, bagaimanapun, tidak akan menjadi sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan pengurus Argentina itu apabila Leeds kembali mewarnai kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pertama kalinya dalam tempoh 16 tahun, sebaik disahkan akan menggantikan Danny Cowley di di Stadium John Smith, musim depan.

Cobreran, yang satu-satu pengalamannya bertindak sebagai pengurus adalah ketika di Cyprus, memberitahu saluran media Huddersfield: "Saya rasa ini adalah saat yang tepat untuk membuat langkah ini, khususnya kerana ini merupakan peluang yang tepat untuk melakukannya di samping Huddersfield.



"Saya mendapat banyak sokongan dalam pertemuan pertama saya dengan individu di sini. Saya fikir ini adalah saat yang tepat untuk melakukan langkah ini, saat yang tepat untuk mengambil kesempatan ini dan mula beroperasi bersama-sama.

"Sudah tentu, salah satu sebab mengapa saya berada di sini adalah kerana kedua-duanya (Pengerusi, Phil Hodgkinson, dan Ketua Operasi Bola Sepak, Leigh Bromby) mempunyai perasaan yang serupa tentang apa yang kami mahukan di atas padang.

"Kami mahu menjadi berani, kami mahu menjadi sebuah pasukan yang hebat, kami ingin membuktikannya jadi sebaik saya memulakan tugas ini, kami mahu mempunyai satu identiti (permainan), kami ingin mempertahankan identiti ini, baik beraksi di tempat sendiri mahu pun lawan.

"Kami akan berusaha mengembangkan identiti ini, cuba mencipta budaya dan suasana yang memungkinkan kami akan dirujuk dengan gaya permainan tertentu."