Hubungan Mourinho, Herrera sentiasa baik

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2017 36
Hubungan Mourinho, Herrera sentiasa baik
Pemain tengah Manchester United, Ander Herrera, menafikan hubungannya dengan Jose Mourinho kini bermasalah selepas tewas 1-2 di tangan Huddersfield Town, hujung minggu lalu.

Herrera sebelum ini menyifatkan pasukannya tewas di tempat lawan disebabkan keinginan yang rendah serta sikap sambil lewa pemain-pemain, sekaligus menarik perhatian Mourinho.

"Apabila seorang pemain bercakap demikian dan sedar tentang perkara itu, saya rasa mereka perlu mengadakan sidang media untuk menjelaskannya," kata Mourinho merujuk kepada kenyataan Herrera.

Pemain Sepanyol itu hanya melakukan tiga penampilan dalam kesebelasan utama pada musim ini, membuatkan hubungannya dengan pengendali dari Portugal itu menjadi tanda tanya tetapi pantas dijelaskan oleh Herrera.

"Jika anda mendengar dengan betul apa yang saya katakan, saya hanya bercakap tentang 30 minit yang pertama (dalam aksi bertemu Huddersfield).

"Itu yang berlaku. Selepas itu, kami mula menunjukkan aksi yang berdisiplin dan hampir mencatat keputusan seri. Kini kami ingin melupakan perlawanan tersebut.

"Segala yang diperkatakan Mourinho akan saya terima kerana saya seorang profesional. Kami memiliki hubungan yang baik, jadi ayuh fikirkan tentang aksi menentang Tottenham Hotspur," ujar Herrera.

United bakal menyambung aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila melayani kunjungan Spurs, Sabtu ini, dalam perlawanan yang disifatkan Herrera wajib menang selepas kedua-dua pasukan terikat dengan 20 mata.

"Kami harus menang ke atas Spurs kerana mereka adalah pencabar utama untuk kejuaraan dan kami bermain di laman sendiri.

"Sejak dua atau tiga musim lepas, mereka menunjukkan peningkatan yang ketara. Spurs adalah pencabar kepada semua pasukan," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen