Pengurus Bournemouth, Eddie Howe, percaya Jermain Defoe masih mampu menawarkan khidmatnya untuk England dan mampu mencari jalan menyertai skuad kendalian Gareth Southgate beraksi dalam Piala Dunia.

Pemain berusia 35 tahun itu telah diketepikan bagi aksi persahabatan bertemu Jerman dan Brazil dan memberikan ruang untuk Tammy Abraham dan Dominic Solanke membuat penampilan sulung untuk The Three Lions.

Defoe bergelut mencari sentuhan terbaik selepas berhijrah dari Sunderland, dengan menjaringkan hanya satu gol selepas beraksi dalam 10 perlawanan liga musim ini.

Tetapi Howe yakin dengan kebolehannya untuk menemui prestasi terbaiknya dan mengulangi persembahan dua musim sebelum ini dengan menjaringkan 15 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Saya berasakan Defoe bermula baik musim ini. Ramai pihak yang menilai persembahan menerusi jaringan tetapi dia mampu memberikan lebih lagi berbanding menjaringkan gol," kata Howe.

"Kami perlu mencari jalan untuk Defoe kembali mempamerkan aksi terbaik dan cuba memahami gaya permainannya.

"Saya percaya dia mampu menyertai skuad England ke Piala Dunia. Dia mampu memberikan impak di Russia nanti," tambahnya.