Pierre-Emile Hojbjerg memohon maaf kepada penyokong Southampton selepas dilayangkan kad merah ketika pasukannya tewas 1-3 kepada Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Hojbjerg menjaringkan gol penyamaan selepas David Silva meletakkan City di depan dalam separuh masa pertama.

Namun, gol sendiri James Ward-Prowse dan gol daripada Sergio Aguero sebelum ke bilik persalinan menafikan usaha itu.

Hojbjerg kemudian dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras ke atas Fernandinho pada lima minit terakhir perlawanan.

Layangan kad merah itu menyaksikan pemain kebangsaan Denmark tersebut akan digantung tiga perlawanan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan laman Twitter rasmi The Saints, pemain tengah itu berkata: "Saya mahu memohon maaf mengenai layangan kad merah itu yang menyukarkan pasukan.

"Adakalanya keterujaan mengatasi pertimbangan saya di atas padang.

"Namun, saya akan berusaha lebih keras untuk kembali dengan aksi lebih baik nanti.

"Sokongan yang diberikan amat baik dan kami perlu bersatu bagi mencapai potensi terbaik pasukan," katanya.

Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl, mengakui pasukannya tidak berniat untuk bangkit dalam babak kedua.

Ia disebabkan mereka berkemungkinan bolos lebih banyak kepada juara bertahan itu.

"Sewaktu masa rehat, kami membuat keputusan untuk tidak mahu melakukan serangan bagi mengelak risiko yang lebih besar.

"Kami mahu bertahan agar tidak dibolosi lebih banyak.

"Bagaimanapun, kami memiliki percubaan daripada sepakan percuma yang mungkin memberikan jaringan buat kami," katanya.