CARDIFF CITY 2 WOLVERHAMPTON WANDERERS 1

Wolverhampton Wanderers gagal mengelak daripada rekod enam perlawanan tanpa kemenangan mereka selepas tewas 1-2 kepada Cardiff City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.


Junior Hoilett muncul wira tuan rumah selepas meledak gol kemenangan dalam separuh masa kedua.

Pengendali Wolves, Nuno Espirito Santo, berada di bawah tekanan hebat disebabkan rekod buruk pasukannya itu menerusi satu lagi kekalahan di Wales, dengan Cardiff kini keluar daipada kedudukan bahaya tiga tangga terbawah.

Wolves gagal beraksi baik sejak awal permainan, namun Matt Doherty berjaya meletakkan pelawat di depan menerusi gol keduanya dalam saingan Liga Perdana, musim ini.

Cardiff kemudian bangkit mengikat kedudukan selepas tamat waktu rehat menerusi Aron Gunnarssson, pada minit ke-65, sebelum Hoilett menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki 13 minit, yang meletakkan Wolves berdepan kekalahan kelima mereka daripada enam perlawanan terakhir.

Wolves sepatutnya dipersalahkan menerusi permulaan buruk yang dipamerkan, namun mereka berada di depan menerusi percubaan pertama daripada Doherty yang turut melakukan penampilan liganya yang ke-200 buat pasukan itu.

Cardiff seterusnya mengekalkan penguasaan dan hampir memecah kebuntuan menerusi sepakan voli Harry Arters yang menggegar palang gol lawan.

Tuan rumah memperoleh jaringan penyamaan berbaki 25 minit terakhir perlawanan -- Gunnarsson menghasilkan penyudah hebat dari jarak dekat susulan gerakan awal Sean Morison dan Arter.

Hoilett melengkapkan kebangkitan pelawat menerusi sepakan lencong dari dalam kawasan penalti yang menyelinap di bawah palang gol Rui Patricio.