Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, mahu meminum wain sebagai tanda meraikan kemenangan selepas berjaya mencipta kejutan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menundukkan juara bertahan, Chelsea, 2-1 di tempat sendiri, lewat malam tadi.

Kejayaan menewaskan Chelsea bermakna Palace berjaya menamatkan episod kekalahan sejak awal musim selepas gagal menjaringkan sebarang gol dan tidak mengutip mata dalam tujuh perlawanan terdahulu.

Diinspirasikan oleh aksi hebat Wilfried Zaha yang menjaringkan gol kemenangan buat skuad Eagles, Palace perlu "berterima kasih" kepada pertahanan The Blues, Cesar Azpilicueta, yang menjaringkan gol sendiri untuk memadam jaringan awal Tiemoue Bakayoko.

Ia adalah kemenangan pertama Hodgson bersama Palace selepas empat perlawanan dan bekas pengurus England itu gembira dengan prestasi anak-anak buahnya.

"Kami mencipta banyak peluang, menjaringkan gol dan bertahan dengan baik sejak awal permainan sehingga wisel penamat dibunyikan.

"Untuk menampilkan aksi sebegitu -- mengejar bola dengan cepat, pantas menutup setiap ruang dan sentiasa mendapatkan bola -- saya rasa kami layak menerima pujian.

"Saya tidak minum dengan kerap sebelum ini kerana wain merah bukan sesuatu yang baik untuk memastikan kalori dalam badan anda rendah tetapi saya akan meminumnya pada hari ini kerana amat gembira dengan aksi pemain-pemain," kata Hodgson.

Kemenangan itu menambah keyakinan Hodgson bahawa musim 2017/18 baru sahaja bermula buat Palace.

"Saya tidak nafikan bahawa ini adalah permulaan musim buat kami.

"Ia melibatkan 38 perlawanan dan setiap aksi mempunyai kisah tersendiri.

"Agak bodoh jika memikirkan kami mampu menewaskan Newcastle United dan West Ham United selepas memenangi perlawanan hari ini kerana kami perlu terus bekerja keras," katanya lagi.