Hodgson desak Benteke kembali pertajam sentuhan 

Oleh Penulis Jemputan 15 Disember 2017 141
 Hodgson desak Benteke kembali pertajam sentuhan 
Roy Hodgson gusar dengan prestasi penyerang Crystal Palace, Christian Benteke, selepas pemain antarabangsa Belgium itu terus ketandusan gol musim ini.

Benteke merekodkan 15 gol Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu untuk membantu The Eagles menjauhi ancaman penyingkiran, namun penyudahnya belum menampakkan hasil dalam 12 penampilan setakat ini. 

Pemain berusia 27 tahun itu terus dilanda kecewa dalam kemenangan dramatik 2-1 di tempat sendiri ke atas Watford yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain, hasil gol lewat daripada Bakary Sako dan James McArthur dengan Tom Cleverley dilayangkan kad merah pada minit ke-87.

Biarpun Palace kini meneruskan rentetan tanpa kalah dalam enam perlawanan liga, Hodgson mengakui ketumpulan Benteke itu adalah satu masalah, apatah lagi penyerang itu gagal menyempurnakan penalti ketika mereka seri 2-2 dengan Bournemouth, Sabtu lalu. 

"Sudah tentu, kegagalan dia tidak mencetak gol menjadi kebimbangan kami, kepadanya sendiri dan peminat," kata Hodgson dalam sidang media sempena kunjungan ke Leicester City minggu ini. "Dia perlu terus bekerja keras dan memberi sumbangan yang baik kepada pasukan.

"Kami tidak mudah untuk membariskan sesiapa sahaja, apalagi penyerang yang tidak menjaringkan gol, namun kami tidak perlu mengingatkannya tentang perkara itu, saya tidak akan mendapat banyak keuntungan dengan melakukannya."

Hodgson mengakui The Foxes yang kini dalam prestasi terbaik -- meraih empat kemenangan sejak melantik pengurus baru, Claude Puel -- akan menjadi ujian sukar buat pasukannya yang mula mempamerkan kebangkitan untuk menduduki tangga ke-18 EPL.

"Mereka adalah pasukan yang bagus dengan pemain yang baik, jadi pengurus mereka telah melaksanakan tugas dengan baik sejak dilantik," kata Hodgson.

"Tidak mengejutkan kami bahawa Leicester memenangi perlawanan, menjaringkan gol dan bermain dengan baik kerana kami sedar mereka adalah pasukan yang bagus.

"Tidak lama dahulu, mereka muncul juara England. Anda tidak menjadi juara dan kehilangan semua pemain berkualiti dalam semusim.

"Sungguhpun keputusan tidak menyebelahi mereka, kami masih begitu menghormati mereka dalam kunjungan kami ke sana dan berasa gentar dengan kualiti yang mereka ada," tambahnya.

Palace akan turun tanpa Damien Delaney, Joel Ward dan Mamadou Sakho sementara pemain tengah bertahan, Luka Milivojevic, akan menjalani penggantungan.

Khidmat Sakho masih tidak menentu selepas bekas pemain pertahanan Liverpool itu mengadu masalah betis ketika berdepan Bournemouth.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen