CRYTAL PALACE 2 BOURNEMOUTH 2

Roy Hodgson kecewa dengan penyerang, Christian Benteke, selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan ketika Crytal Palace seri 2-2 dengan Bournemouth, semalam.


Jermain Defoe berjaya meledak dua gol buat pelawat sementara The Eagles memperoleh jaringan daripada Luka Milivojevic dan Scott Dann dalam pertembungan sengit di Selhurst Park.

Palace melancarkan banyak serangan balas ke arah kubu pertahanan Bournemouth tetapi Asmir Begovic bertindak cemerlang hingga Charlie Daniels menjatuhkan Wilfried Zaha dalam kotak penalti pada masa kecederaan.

Penyerang Belgium, Benteke, mengambil alih tugas sepakan penalti daripada Milivojevic tetapi percubaannya mudah diselamatkan oleh Begovic dan Hodgson berang dengan keputusan pemainnya itu.

"Benteke mengambil bola tersebut. Tiada pemain yang mencapai sepakat dengan keputusan tersebut," kata Hodgson.

"Kami telah membuat keputusan pemain mana yang akan mengambil sepakan penalti serta tidak menjangkakan pemain-pemain akan mengubah perancangan yang telah ditetapkan.

"Ini bukan padang latihan tetapi aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan pasukan semakin ketinggalan," keluhnya.

Palace kini berada di tangga tercorot dengan 11 mata dan Hodgson berharap keputusan itu tidak memberikan impak kepada mentaliti pemain untuk perlawanan akan datang.

"Jika kami berjaya keluar daripada zon penyingkiran, kami masih lagi banyak usaha yang perlu dilakukan.

"Kami telah terlepas peluang itu. Saya percaya kami tidak beraksi baik untuk mendapatkan tiga mata, jika anda terlepas peluang menerusi sepakan penalti, anda hanya perlu menyalahkan diri sendiri," katanya lagi.