CRYSTAL PALACE 2 STOKE CITY 1

Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, memuji Christian Benteke selepas mempengaruhi kebangkitan sebelum melakar kemenangan 2-1 ke atas Stoke City.


Benteke, yang baru-baru ini pulih daripada kecederaan lutut, hadir sebagai pemain gantian selepas ketinggalan hasil jaringan solo Xherdan Shaqiri.

Penyerang kebangsaan Belgium itu merupakan penggerak gol penyamaan Palace dua minit kemudian, dengan melakukan hantaran kepada Andros Townsend untuk melakukan hantaran silang yang disempurnakan oleh Ruben Loftus-Cheek.

Kebangkitan The Eagles dilengkapkan oleh kapten pasukan, Mamadou Sakho, yang menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk memberikan kemenangan kedua dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Hodgson menyifatkan penglibatan Benteke memberikan impak kepada pasukan.

"Kami bermain dengan lebih pantas dalam babak kedua," katanya.

"Penglibatan Christian Benteke membantu kami dengan membuka ruang buat Palace. Kami mengawal bola dengan baik apabila Benteke beraksi.

"Wilfried Zaha dan Townsend mempamerkan aksi cemerlang di bahagian sayap tetapi kehadiran Benteke memberikan pilihan buat pasukan.

"Jika anda berjuang hingga ke hujung perlawanan, anda akan berpeluang meraih sesuatu. Kami telah mempamerkan semangat juang dalam perlawanan ini," tambahnya.

Palace terus mempamerkan aksi cemerlang selepas bangkit dalam dua perlawanan untuk mendapatkan keputusan seri 2-2 ketika bertemu West Ham dan Everton.

Hodgson tidak berasakan persembahan berdepan Stoke perlu dipertingkatkan lagi tetapi mengharapkan tuah menyebelahi pasukannya.

"Perlawanan ini memihak kepada kedua-dua pasukan. Kami telah bermain dengan baik dalam beberapa perlawanan dan meraih keputusan seri sebelum mencatat kemenangan ini.

"Kami akan terus bekerja keras, meneruskan apa yang kami lakukan dan paling penting adalah mengelak daripada melakukan kesilapan," katanya lagi.