Selain penggunaan formasi atau pendekatan taktikal sesuai, kemahiran pengurusan pemain juga penting dalam bola sepak moden hari ini.

Kaedah pengurusan pemain yang sesuai jugalah yang kini tampak membantu Manchester United kembali ampuh di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Tidak dinafikan pembelian Bruno Fernandes pada Januari lalu memberi impak, tetapi peranan Solskjaer tidak boleh diperkecilkan.

“Saya bukan mahu menilai Jose Mourinho sebagai seorang pengurus, kerana saya tidak layak menilainya dan dia seorang pengurus yang mempunyai rekod cemerlang.

“Tetapi saya lihat pemain-pemain United ketika di bawah Mourinho tampak tertekan dan seolah-olah mereka takut untuk melakukan kesilapan di atas padang.

“Ole pula tampak memberi kebebasan kepada pemainnya bermain dan ia jelas membuatkan mereka gembira seperti bermain di taman pada hujung minggu.

“Di Liga Perdana Inggeris (EPL) hari ini, Jurgen Klopp dan Pep Guardiola pengurus yang mempunyai pendekatan sama seperti itu,” kata bekas pemain United, Danny Higginbotham ketika menjadi tetamu bersama Gary Stevens dalam siaran secara langsung aksi EPL antara Crystal Palace dan United pada pagi Jumaat ydi saluran CH813 Astro Supersport.



Aksi pada Jumaat itu menyaksikan skuad kendalian Solskjaer menewaskan Palace 2-0 dalam misi memburu tempat ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

United kini merakam 62 mata selepas 36 perlawanan, hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan dengan pasukan di tangga keempat, Leicester dan satu mata dengan Chelsea di tempat ketiga.

Dalam pada itu Higginbotham turut meramalkan United akan mendapatkan kelibat pemain sayap Borussia Dortmund, Jadon Sancho untuk saingan musim depan.

“Sukar untuk saya bayangkan jika Sancho tidak ke United musim depan kerana dia mampu menambah kekuatan pasukan.

“Ya, United kini mempunyai Mason Greenwood dan Daniel James untuk beraksi di sayap kanan, tetapi Sancho juga boleh bermain di sebelah kiri.

“Dia juga kini sudah bersama skuad England, jadi tiada masalah buatnya menyesuaikan diri dengan pemain England lain dalam skuad United,” kata Higginbotham.