Ander Herrera memuji semangat juang Manchester United ketika seri 0-0 dengan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Jose Mourinho yang telah merakamkan empat kemenangan berturut-turut ke atas Liverpool, sekali lagi mengecewakan pasukan tuan rumah kerana menggagalkan misi mereka untuk membalas dendam.

United hanya mencatatkan 35 peratus kawalan bola dan cuma memiliki satu percubaan menepati sasaran, dengan Zlatan Ibrahimovic gagal menyempurnakan peluang terbaik selepas hantaran silang Paul Pogba gagal disempurnakan oleh bekas pemain Paris Saint-Germain itu.

Herrera percaya United boleh mengambil pengajaran daripada perlawanan ini tetapi menegaskan mereka tidak berniat untuk mendapatkan keputusan seri.

"Kami bermain dengan baik dalam separuh masa pertama, mereka pula memperkemaskan permainan dalam babak kedua perlawanan," kata Herrera.

"David de Gea telah menyelamatkan percubaan terbaik Liverpool tetapi Zlatan gagal menyempurnakan peluang untuk kami menjaringkan gol.

"Tiada pasukan mahu tewas tetapi kami dapat mempelajari banyak perkara daripada perlawanan ini. Sekarang kami perlu mencipta kemenangan -- kami mahu menjadi juara dan perlu memenangi perlawanan.

"Saya amat berbangga dengan rakan sepasukan saya, kami sentiasa bermain untuk menang.

Ashley Young berasakan pasukannya harus berbangga dengan usaha jentera pertahanan yang mengehadkan pergerakan pemain-pemain Liverpool.

"Kami bertahan dengan baik. Kami juga berpeluang untuk menang tetapi gagal melakukannya," ujar Young.

"Anda tidak mahu tewas di sini. Kami kecewa kerana gagal memperoleh tiga mata tetapi United telah memberikan yang terbaik untuk perlawanan ini."