Pemain tengah Manchester United, Ander Herrera, mempersoalkan tahap mentaliti pasukannya selepas gagal mempamerkan prestasi terbaik ketika tewas mengejut 2-1 di tangan Huddersfield Town.

Walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan, United ketinggalan 1-0 hasil gol daripada Aaron Mooy, tidak lama selepas Phil Jones dikeluarkan akibat kecederaan.

Penggantinya, Victor Lindelof, melakukan kesilapan ketika cuba menanduk bola sehingga membolehkan Laurent Depoitre mendapatkan jaringan kedua dan sambil memuji aksi lawan, Herrera kecewa dengan persembahan rakan sepasukannya.

"Ia hari yang sukar kerana kami tidak menggunakan peluang untuk meneruskan rentak kemenangan.

"Lawan lebih agresif dalam babak pertama, bermain dengan sepenuh hati dalam 30 minit awal.

"Kami cuba bangkit tetapi jika anda ketinggalan 2-0 di tangan pasukan yang bermain bermati-matian, ia pastinya tidak mudah," kata Herrera kepada MUTV.

"Semua pemain perlu mengetahui kelemahan dan kekurangan dalam separuh masa pertama. Apabila anda turun menentang pasukan yang kebiasaannya anda akan menang, anda perlu menyamai kemahuan dan tahap agresif yang mereka tampilkan.

"Kami tidak melakukannya dan ia tidak boleh berlaku lagi," katanya.