Legenda Arsenal, Thierry Henry, berkata pengambilalihan yang diusulkan oleh pemilik bersama Spotify, Daniel Ek, ke atas kelab itu akan "mengambil masa yang panjang dan bukan mudah", bahkan mungkin tidak akan berlaku.

Jutawan Sweden berusia 38 tahun itu mengesahkan minatnya untuk membeli The Gunners, pasukan yang disokongnya sejak berusia lapan tahun, selepas kegagalan Liga Super Eropah (ESL) dua minggu lalu.

Terdapat kekecewaan yang meningkat terhadap The Kroenkes sejak akhir-akhir ini, yang dipacu oleh saga ESL.

Bercakap dalam Sky Sports' Monday Night Football, Henry berkata Ek telah menghubungi Stan Kroenke dan dijangka akan mengemukakan tawaran £1.8 bilion (RM10.2 bilion) untuk membeli Arsenal minggu ini.

Ek juga mendapat sokongan daripada pemain legenda Arsenal seperti Henry, Patrick Vieira dan Dennis Bergkamp tetapi masih belum jelas sama ada Kroenke akan mendengar atau mempertimbangkan tawaran itu.

"Saya fikir ia memerlukan masa dan bukan mudah -- sekiranya ia akan berlaku.

"Satu perkara yang saya mahu ulangi adalah Daniel tidak akan berputus asa, dia akan berada di sana untuk menunggu jika mereka mahu menjualnya.

"Ia akan mengambil masa yang panjang, kami sedar apa yang kami ingin lakukan tetapi perkara pertama adalah kami perlu memastikan yang kami boleh mengambil alih, jika mereka mahu mendengarnya," katanya.